Sijil kelahiran dengan ciri keselamatan terkini dikeluarkan tahun depan

Sijil kelahiran dengan ciri keselamatan terkini dikeluarkan tahun depan

Antara ciri keselamatan baharu ialah 'watermark' bagi mengelak berlakunya kes pemalsuan dokumen, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Hamzah Zainudin berkata, walaupun sijil kelahiran berciri baharu itu dikeluarkan tahun depan, sijil sedia ada masih boleh digunakan dan tidak perlu ditukar.
PUTRAJAYA:
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan sijil kelahiran versi baharu bermula tahun depan yang mengandungi beberapa ciri keselamatan terkini, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Dalam sidang media selepas melancarkan reka bentuk baharu dokumen keselamatan sempena Hari Pendaftaran Negara Tahun 2022 di sini, Hamzah berkata, ciri keselamatan baharu pada sijil kelahiran termasuk “watermark” (tera air) bagi mengelak berlakunya kes pemalsuan dokumen.

“Apabila dokumen itu dibawa kepada JPN, kita tahu ia sahih atau tidak. Sesiapa yang lahirkan anak tahun depan akan dapat sijil kelahiran baharu,” katanya.

Hamzah berkata, sijil kelahiran sedia ada masih boleh digunakan dan tidak perlu ditukar.

JPN dalam kenyataan sempena program itu memaklumkan, 38 dokumen keselamatan jabatan itu, termasuk sijil kelahiran dan daftar perkahwinan, ditingkatkan ciri keselamatannya bermula tahun depan bagi menjaga aspek ketulenan.

Menurut JPN, antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan adalah pada reka bentuk dokumen, kertas yang digunakan dan jenis dakwat untuk cetakan keselamatan.

Sementara itu, Hamzah berkata, pegawai JPN akan digerakkan ke kawasan terjejas banjir menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) bagi membantu mangsa yang kehilangan dokumen pengenalan diri.

“Pegawai JPN bersiap sedia, kita jaga kepentingan rakyat … kalau dokumen pengenalan diri tiada, macam mana nak mengundi,” katanya.

Mekar ialah inisiatif JPN bagi menyantuni rakyat dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti pendaftaran kelahiran, kematian dan kad pengenalan serta khidmat nasihat terutama kepada penduduk di kawasan pedalaman serta luar bandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.