Penyertaan Iman mampu bantu GTA menang PRU15, kata Dr M

Penyertaan Iman mampu bantu GTA menang PRU15, kata Dr M

Pengerusi penaja GTA berkata keyakinan tersebut berpaksikan kepada jumlah keahlian Iman yang ramai di seluruh negara.

Dr Mahathir Mohamad berkata keinginan komuniti India Muslim memastikan suara mereka didengari mampu menjadi penyumbang kemenangan Gerakan Tanah Air (GTA) menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad yakin penyertaan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dalam Gerakan Tanah Air (GTA) mampu membantu gabungan parti politik itu menang dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi penaja GTA itu, berkata keyakinan tersebut berpaksikan kepada jumlah keahlian Iman yang ramai di seluruh negara, serta keinginan komuniti India Muslim untuk memastikan suara mereka didengari di peringkat kerajaan.

“Kita tahu pertubuhan-pertubuhan NGO seperti Iman ini tidak terlibat secara langsung dalam politik, cuma harapan mereka ialah perjuangan dan suara mereka akan diterima oleh mana-mana kerajaan yang memerintah negara.

“Jadi, saya yakin komuniti India Muslim akan memainkan peranan yang besar dalam PRU15,”kata bekas perdana menteri itu pada program majlis makan malam di sini, malam tadi.

Turut hadir majlis itu ialah Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, Presiden Iman Mohammed Mosin Abdul Razak, Presiden Putra Ibrahim Ali dan Presiden Berjasa Zamani Ibrahim.

GTA yang ditubuh pada 4 Ogos dan diketuai oleh Pejuang telah menyatakan pendirian sebelum ini akan meletakkan 120 calon di seluruh negara pada pilihan raya itu dengan lebih 30% adalah calon muda.

Kesemua calon juga akan bertanding di atas tiket Pejuang memandangkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) belum lagi meluluskan permohonan pendaftaran gerakan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.