Majoriti Umno bahagian sokong Ismail sebagai PM selepas PRU15

Majoriti Umno bahagian sokong Ismail sebagai PM selepas PRU15

Menurut Bernama, kira-kira 132 Umno bahagian daripada 191 yang mengadakan mesyuarat pada minggu lalu meluluskan usul menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin berkata, usul itu selaras dengan keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno yang menamakan Ismail sebagai “poster boy” dan calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebahagian besar Umno bahagian menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri Yaakob untuk kekal sebagai perdana menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menurut Bernama, kira-kira 132 Umno bahagian daripada 191 yang mengadakan mesyuarat pada minggu lalu meluluskan usul menyokong Ismail sebagai perdana menteri.

Semalam, Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid berkata, sokongan kepada Ismail itu adalah inisiatif Umno bahagian sendiri bukannya atas arahan sesiapa.

Seorang lagi Naib Presiden Umno, Khaled Nordin berkata, usul itu juga selaras dengan keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 14 April lalu yang menamakan Ismail sebagai “poster boy” dan calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15.

“Seperti apa yang dikatakan presiden (Ahmad Zahid Hamidi) sebelum ini dan ia sudah diputuskan,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Zahid juga dilaporkan berkata, BN kekal dengan pendirian Ismail adalah “poster boy” dan calon perdana menteri dan ia tidak akan berubah sekarang kerana Parlimen sudah dibubarkan dan pilihan raya akan diadakan pada tahun ini.

Antara bahagian yang menyatakan sokongan adalah Machang dan Ketereh di Kelantan; Tenggara, Pontian, Parit Sulong dan Tebrau (Johor); Alor Gajah (Melaka); Tampin dan Jelebu (Negeri Sembilan); Padang Terap (Kedah); Arau (Perlis); Kuala Terengganu (Terengganu); dan Libaran (Sabah).

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir berkata, semua 13 bahagian di Pulau Pinang menyokong usul berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.