
Ketuanya, Helmy Abdul Latif, berkata beliau “berkeras habis-habisan” menolak sebarang bentuk provokasi dalam politik.
“Tak kira dibayar atau tidak, ini satu budaya yang tidak sihat dalam politik di negara kita,” katanya di Twitter.
“Ramai yang tanya saya betul ke tak Pemuda Umno Muar buat, saya berani bersumpah, tiada arahan daripada saya selaku ketua Pemuda Umno Bahagian Muar untuk buat perkara terkutuk ini.
“Saya menentang sekeras kerasnya. Kami tiada masa untuk ini.”
Kenyataan Helmy itu menyusuli dakwaan pembantu Syed Saddiq, Farhan Iqbal, bahawa Umno mendalangi kejadian itu.
Majlis itu berjalan lancar ketika beberapa penceramah, termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, berucap.
Bagaimanapun, kekecohan bermula apabila Syed Saddiq, yang juga penyandang Parlimen Muar, sedang berucap sebagai penceramah terakhir.
Beberapa orang anak muda berkumpul di luar khemah ceramah dan berkali-kali menjerit memanggil Syed Saddiq “penipu”.
Hadirin yang sedang mendengar ucapan Syed Saddiq kemudian membalas jeritan kumpulan tersebut dengan meminta mereka untuk “balik”.
Syed Saddiq kemudian meneruskan ucapannya, dengan polis bantuan dipanggil untuk memantau acara tersebut.