Abang Jo beri ‘lampu hijau’ Fadillah pertahan Petra Jaya

Abang Jo beri ‘lampu hijau’ Fadillah pertahan Petra Jaya

Fadillah Yusof adalah Ahli Parlimen Petra Jaya selama empat penggal sejak 2004.

Presiden PBB, Abang Johari mahu pengundi memberi mandat pada Fadillah Yusof jika dicalonkan mempertahankan Parlimen Petra Jaya.
PETALING JAYA:
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abang Johari Openg membayangkan Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof akan mempertahankan kerusi Parlimen tersebut pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Fadillah adalah Ahli Parlimen empat penggal bagi kerusi Petra Jaya sejak 2004. Pada PRU lalu, Naib Presiden PBB itu mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 15,017 undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Bercakap pada satu program di Kuala Lumpur malam tadi, Abang Johari yang juga premier Sarawak berkata, beliau berharap Fadillah diberi mandat sekiranya dicalonkan semula pada PRU15 nanti.

“Insya Allah, Datuk Seri Fadillah Yusof menang sekiranya dicalonkan lagi,” katanya yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak seperti dilaporkan The Borneo Post.

PBB adalah parti tunjang dalam GPS, diperuntukan sebanyak 14 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak.

Bagaimanapun, pada PRU lalu, parti itu hilang satu kerusi Parlimen iaitu Puncak Borneo selepas kecundang kepada PKR.

Pada PRU15 kelak, GPS buat pertama kali akan menggunakan logo sendiri selepas mengambil keputusan keluar dari Barisan Nasional (BN) sebaik gabungan itu tumbang pada PRU14.

Pada 10 Okt lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen, membuka laluan kepada PRU15 diadakan dalam tempoh 60 hari.

GPS terdiri PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) kini menguasai 20 kerusi Parlimen, DAP (6), PKR (1), PSB (1), PBM (1), Bersatu (1) dan Bebas (1).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.