
Beliau yang mendedahkan perkara itu selepas melawat beberapa pasar raya di Batu Caves hari ini berkata, pemilik pasar raya turut mengadu bekalan telur sukar diperolehi.
“Antaranya, tindakan pengeluar yang mengeksport telur gred kawalan, iaitu gred A, B dan C ke luar negara. Tindakan ini menyebabkan bekalan telur domestik berkurangan,” katanya dalam catatan di Facebook.
“Kerajaan, melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, menyediakan dan menaikkan subsidi kepada penternak daripada tiga sen sebiji kepada lapan sen sebiji disebabkan kos pengeluaran meningkat, yang memberi kesan kepada pengeluaran telur gred A, B dan C.”
Beliau berkata, subsidi itu bertujuan memastikan harga telur gred A, B dan C kekal pada harga siling yang ditetapkan kerajaan.
Justeru, beliau memberi amaran keras kepada semua pengeluar untuk memastikan pengeluaran telur kegunaan domestik dipertingkatkan bagi memastikan bekalannya mencukupi dalam pasaran negara.
“Pengeluar hendaklah berintegriti dan menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang dipersetujui bersama dalam beberapa siri perbincangan, selepas subsidi tambahan diberikan kepada pengeluar.”
Katanya, KPDNHEP akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta agensi berkaitan bagi menjaga kebajikan pengguna.