Ab Rauf persoal usul Ismail jadi PM selepas PRU15

Ab Rauf persoal usul Ismail jadi PM selepas PRU15

Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah itu berkata perkara menamakan Ismail Sabri Yaakob bagi jawatan itu sudah diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), pada April.

Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah Ab Rauf Yusoh, berkata bahagiannya tidak membawa usul menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) memandangkan perkara itu sudah diputus MKT. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno Bahagian Masjid Tanah mempersoalkan usul Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata ketuanya, Ab Rauf Yusoh.

Katanya, usul sedemikian tidak perlu dibawa memandangkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), pada April, sudah menamakan Ismail bagi jawatan penting itu.

Justeru, Umno bahagian diketuainya mematuhi keputusan itu tanpa perlu membawa usul sama.

“Kita tak perlu bawa usul itu kerana ia sudah diputuskan dalam MKT. Mengapa kita nak bawa lagi?

“Kita ikut sahaja keputusan itu,” lapor Berita Harian.

Semalam, Bernama melaporkan, usul menamakan Ismail yang juga naib presiden Umno itu sebagai perdana menteri mendominasi sebahagian besar mesyuarat Umno bahagian.

Antara bahagian parti itu yang bersetuju mengusulkan penamaan Ismail adalah Umno Machang, di Kelantan; Tenggara, Pontian, Parit Sulong dan Tebrau, di Johor. Hari ini, Umno Tampin, di Negeri Sembilan dan Padang Terap, di Kedah, juga mengambil ketetapan sama.

Persidangan Bahagian Umno bermula kelmarin hingga hari ini melibatkan 191 bahagian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.