
Beliau berkata, usaha itu tidak seharusnya dilakukan bersendirian oleh setiausaha agungnya, Anthony Loke semata-mata.
“Kami memerlukan lebih ramai pemimpin melakukan perkara sama bagi menunjukkan semangat Malaysia dalam DAP,” kata Wong dalam temu bual dengan FMT.
Menurut Wong, persepsi DAP sebagai parti anti-Melayu telah dicipta lawannya, sejak 1970-an, sebagai cubaan menggambarkannya sebagai parti untuk minoriti.
“Tetapi, jika anda menilai kerja wakil rakyat kami (anda akan melihat) bahawa ia tidak benar.
“Periksa kerja kami lakukan di peringkat tempatan, apa yang sebenarnya kami buat dan kemudian anda akan tahu DAP adalah parti untuk semua rakyat Malaysia,” kata Wong.
Loke dalam temu bual dengan FMT, pada Ogos lalu, menekankan betapa penting bagi DAP untuk meyakinkan orang Melayu bahawa parti itu bukan musuh mereka.
Wong yang juga penyandang Parlimen Kluang turut menyuarakan keyakinannya akan dipilih semula sebagai wakil rakyat di kawasan itu bagi penggal kedua.
Pada 2018, beliau menang dengan majoriti lebih 23,000 undi di kerusi yang 42% pengundinya adalah Melayu. Wong menewaskan Gan Ping Sieu dari Barisan Nasional dan Muhammad Hasbullah Md Najib dari PAS.
Pada pilihan raya umum 2018, Bersatu merupakan sebahagian dari Pakatan Harapan. Namun, kali ini Wong perlu berdepan tentangan dari bekas rakan sekutu gabungan itu.
“Ya, saya perlu mengakui pengundi Melayu amat penting untuk kerusi saya tetapi saya yakin dengan prestasi saya di Kluang.
“Penglibatan saya dengan pengundi saya akan membantu saya mengekalkan kerusi itu,” kata Wong.
Wong menyedari undi Melayu penting untuk beliau mengekalkan kerusinya dan akan cuba meraihnya berdasarkan rekod perkhidmatannya.