Pemandu tolak penafian Lalamove berkait dakwaan ‘amalan tidak adil’

Pemandu tolak penafian Lalamove berkait dakwaan ‘amalan tidak adil’

Michael Januarius berkata dia membangkitkan kebimbangan menerusi 10 surat dihantar kepada syarikat itu dan hanya menerima satu jawapan.

Lalamove menafikan dakwaan amalan tidak adil sambil menyatakan pemandunya diberi masa mengkaji terma dan syarat dan kadar pesanannya adalah berdasarkan sistem harga dinamik. (Gambar Lalamove)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu Lalamove Malaysia menolak penafian dibuat syarikat penghantaran itu berhubung ‘amalan tidak adil’ dan berkata, layanan terhadap surat dihantar kepadanya membuktikan kebenaran terhadap aduan dikemukakan.

Michael Januarius berkata, dia menulis 10 surat kepada syarikat itu antara September tahun lalu dan Ogos tahun ini, namun hanya menerima satu jawapan, yang dipanggilnya sebagai “surat hantu”.

“Surat itu tidak mempunyai tarikh, nama penulis dan tandatangan,” katanya kepada FMT. “Tanpa elemen asas seperti surat biasa, ini menunjukkan pihak yang menulis surat itu tidak bertanggungjawab.

Katanya, surat itu dialamatkan kepada pengarah urusannya, Jane Teh.

Dia juga menunjukkan dua surat kepada FMT yang dikembalikan kepadanya tanpa dibuka.

Katanya, dia juga ada menghantar surat kepada syarikat itu pada April dan Mei lalu, di mana tiga aduan dikemukakan dan penyata pembayaran balik yang perlu dilunaskan.

Dia juga berkata, aduan secara rasmi telah dibuat menerusi laman sembang dan aplikasi perkhidmatan pelanggan syarikat itu.

“Penafian demi penafian dibuat oleh Lalamove dan ini menunjukkan satu sistem buruk telah bermula.

Bulan lalu, beberapa pemandu Lalamove mendakwa mereka telah dianiaya dan menerima layanan tidak adil oleh syarikat itu, seperti mengubah terma dan perjanjian tanpa memberitahu pemandu.

Mereka juga mendakwa syarikat itu ada kalanya menyemak semula kadar penghantarannya tanpa memberitahu pemandu.

Lalamove Malaysia telah menafikan dakwaan itu dan menegaskan, pemandu telah dimaklumkan melalui aplikasinya dan diberi masa tujuh hari untuk membaca dokumen lengkap sebelum menerima semakan terma dan syarat.

Syarikat itu juga mempertahankan kadar pesanan, yang dikatakan berdasarkan sistem harga dinamik, di mana harga diselaraskan selepas mengambil kira faktor seperti bekalan dan permintaan serta trafik dan keadaan cuaca.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.