
Kumpulan itu mempersoalkan tindakan polis menahan Rozan Azen Mat Rasip, naib ketua PKR bagi kawasan Batu dan menyiasat beliau mengikut Seksyen 283 Kanun Keseksaan.
“Apakah alasan penahanan Rozan apabila beliau hanya membantu pengundi menyemak status dan tempat pengundian mereka?” soalnya dalam kenyataan.
Bersih berkata, polis sebaliknya perlu menyiasat dakwaan pertukaran alamat mengundi tanpa persetujuan pengundi.
Rozan ditahan pada 6 petang semalam dan bermalam dalam lokap di Balai Polis Jinjang. Beliau dibebaskan sekitar tengah hari tadi.
Beliau turut mendakwa terdapat beberapa kesan lebam di lengannya selepas ditahan.
Bersih berkata, ia menerima beberapa aduan daripada orang ramai yang mendakwa kawasan mengundi bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah ditukar.
Menurutnya, dua pengundi di Sabah mendakwa mereka mengundi di kerusi Parlimen Tawau dan DUN Sri Tanjung pada pilihan raya umum lalu.
“Namun, mereka mendakwa telah diubah ke Parlimen Kalabakan dan DUN Merotai.”
Bersih berkata, berdasarkan siasatannya, dua pengundi itu tidak pernah memohon untuk menukar alamat mengundi mereka.
Ia menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya menjelaskan pertukaran kawasan mengundi bagi pengundi tanpa persetujuan mereka.
“Ketidakjelasan dalam proses dan perubahan yang tidak dimaklumkan akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap SPR, malah ini lebih berbahaya terhadap proses pilihan raya itu sendiri.”