ADUN Bandau keluar Bersatu, umum masuk Warisan

ADUN Bandau keluar Bersatu, umum masuk Warisan

Wetrom Bahanda mengumumkan perkara itu dalam majlis bersama penyokongnya di Matunggong pagi tadi.

ADUN Bandau Wetrom Bahanda mengumumkan keluar Bersatu pagi tadi. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Wetrom Bahanda dilaporkan keluar daripada Bersatu dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyertai Warisan.

Penyelaras KDM Warisan Unity Matunggong, Jominit Kobuhi, berkata Wetrom mengumumkan perkara itu dalam satu majlis bersama penyokongnya di Matunggong, pagi tadi.

“Ya memang betul, dia umum di hadapan penyokongnya di sebuah dewan kebudayaan di Matunggong.

“Saya juga dijemput, tapi saya tidak hadir kerana saya Warisan dan program beliau bukan program rasmi parti, tapi memang itulah yang berlaku (Wetrom umum keluar GRS dan sertai Warisan).

“Apapun kita tunggu pengumuman atau kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan Warisan,” katanya.

Jominit berkata, beliau difahamkan Wetrom turut mengumumkan mahu bertanding di Parlimen Kota Marudu atas tiket Warisan.

“Itu hasrat beliau (Wetrom), kami tiada masalah dengan itu (mahu bertanding di Kota Marudu), tapi pada akhirnya pucuk pimpinan yang akan buat keputusan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengatakan Wetrom yang juga pembantu menteri kepada ketua menteri keluar daripada GRS untuk menyertai Warisan.

Hantaran yang tular itu turut menyaksikan gambar Wetrom bersama penyokongnya menunjukkan simbol jari “W” yang sinonim dengan Warisan.

Sementara itu, Presiden Warisan Shafie Apdal ketika ditemui media dalam satu program parti di Papar enggan mengesahkannya dan memaklumkan Wetrom sendiri belum bertemu dengan beliau.

“Kita tunggu bila sampai waktunya, dia (Wetrom) pun belum jumpa dengan saya, itu di Facebook (Wetrom keluar GRS dan sertai Warisan).

“Tunggu dulu, bila sampai waktu sesuai saya akan berkata sesuatu mengenainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.