
Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, berkata sebagai pemegang amanah, Sabah dan Sarawak yang mempunyai 56 kerusi Parlimen bukan sahaja mampu membantu menstabilkan keadaan politik negara tetapi boleh menentukan pelantikan perdana menteri dan timbalannya.
“Isyarat telahpun diberikan oleh Sarawak dan kini terpulang kepada jentera dan bahagian Warisan seluruh Malaysia serta pengundi-pengundi Sabah semua sama ada mahu mengambil kesempatan ini atau tidak,” katanya dalam kenyataan.
Presiden Warisan, Shafie Apdal dalam ucapannya semalam berkata, Sabah dan Sarawak boleh menjadi “kingmaker” dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana kedua-dua negeri itu memiliki 56 kerusi Parlimen.
Katanya, Sabah dan Sarawak mampu memutuskan gabungan politik mana yang mahu disertainya untuk membentuk kerajaan baharu dan membantu mengubah landskap politik negara.
Leiking berkata, idea Blok Borneo sudah lama wujud dan ia antara sebab British membawa Sabah dan Sarawak dalam pembentukan satu persekutuan bersama Malaya dan Singapura pada 1963.
Katanya, Malaya dan Singapura menjadi “trustee” yang boleh diharapkan oleh Malaya dan Singapura untuk memastikan kestabilan politik. Ini menunjukkan blok ini sangat penting.
Menurutnya, hari ini peranan “trustee” sekali lagi diperlukan ekoran ketidaktentuan politik di Semenanjung akibat perebutan kuasa antara Umno dan Bersatu ditambah pula isu kredibiliti PKR dan PAS yang mahu mengambil kesempatan.
“Dengan 56 kerusi Parlimen, Blok Borneo adalah cukup untuk memaksa mana-mana gabungan yang mahu mentadbir Putrajaya bukan hanya untuk memberikan apa yang sepatutnya diterima oleh kedua-dua negeri ini tetapi juga untuk merealisasikan ‘Agenda Nasional MA63’,” katanya.
Agenda Nasional MA63 adalah hak kepada Sabah dan Sarawak yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Hari ini, Naib Presiden Warisan, Junz Wong, berkata parti dari Sabah itu boleh bekerjasama dengan GPS untuk memperjuangkan hak kedua-dua negeri bawah MA63.