Tak mustahil Warisan ulangi kejutan PRU14 lalu di Sabah, kata penganalisis

Tak mustahil Warisan ulangi kejutan PRU14 lalu di Sabah, kata penganalisis

Warisan masih mempunyai pengaruh kuat terutama di Pantai Timur serta kawasan pulau dan pesisir pantai Sabah, kata penganalisis.

Keberanian Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung juga menunjukkan parti itu mempunyai hala tuju jelas untuk menjadi antara parti utama di negara ini, kata penganalisis.
KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berpendapat, tidak mustahil Warisan mengulangi kejutan dibuat mereka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu walaupun pada PRU15 nanti mereka memutuskan untuk bergerak secara solo di Sabah.

Ramli Dollah dari Unit Kajian Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPes) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, Warisan masih mempunyai pengaruh kuat terutama di Pantai Timur serta kawasan pulau dan pesisir pantai di Sabah, khususnya dengan imejnya yang boleh dilihat mewakili semua etnik di negeri itu.

“Kekuatan utama Warisan masih terletak kepada kepimpinan utamanya, Shafie Apdal. Beliau sebelum ini berjaya menunjukkan kepimpinan dan karismanya bukan sahaja kepada pengundi di DUN Senallang… (malah) bahawa beliau pemimpin yang mampu membawa inspirasi rakyat Sabah dalam proses tawar-menawar dengan kerajaan persekutuan,” katanya kepada FMT.

Ramli berkata, keberanian Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung juga menunjukkan parti itu mempunyai hala tuju jelas untuk menjadi antara parti utama di negara ini.

Bagaimanapun, beliau melihat beberapa kelemahan dalam Warisan termasuk isu kewangan dan tindakan pemimpin mereka yang bertukar parti sebelum ini, malah satu kelemahan ketara adalah pemimpin kurang berpengalaman dalam politik di peringkat nasional.

“Pada hakikatnya, kekuatan parti dari segi pentadbiran tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada dua atau tiga individu saja kerana ia tidak baik untuk jangka panjang. Warisan perlu berusaha melatih dan mengeluarkan pemimpin yang mampu memahami konteks lokal dan nasional, lebih-lebih lagi PRU15 ini lebih menumpukan kepada isu nasional,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, walaupun Warisan merupakan parti pelbagai etnik, mereka juga sering dilabel sebagai parti kepada satu etnik sahaja, seterusnya stigma itu perlu ditangani pemimpinnya bagi mengelak perkara itu dijadikan alat untuk menyerang mereka dalam pilihan raya nanti.

Pada PRU14, Warisan yang membuat penampilan pertama dalam pilihan raya berjaya memenangi lapan kerusi termasuk yang didominasi BN sejak sekian lama. Rakan mereka ketika itu iaitu Pakatan Harapan (PH) pula memenangi enam kerusi. Bagaimanapun, Warisan telah memutuskan hubungan mereka dengan PH sekali gus menyaksikan mereka bakal bergerak solo dengan bertanding di kesemua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan satu kerusi di Labuan pada PRU15 akan datang.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berpendapat, kekuatan Warisan akan teruji sepenuhnya pada PRU15 kerana dinamik politik pasca-PRU14 akan mengetengahkan blok pakatan politik, bukan saja BN dan PH tetapi GRS.

Katanya, perubahan sentimen rakyat bukan sahaja dipengaruhi oleh sentimen kenegerian malah juga faktor seperti pembangunan, kestabilan politik, calon dan pemimpin.

Tony berkata, antara kekuatan Warisan ialah sebagai parti tempatan Sabah dengan melaungkan slogan yang bersifat kenegerian seperti soal Perjanjian Malaysia (MA63), autonomi dan pembangunan, selain reputasinya sebagai parti yang kukuh dan bebas tanpa terikat dengan mana-mana pakatan politik khususnya dari Semenanjung.

“Bagaimanapun, Warisan telah kehilangan beberapa pemimpin dan untuk mengetengahkan pemimpin baharu serta mempunyai sokongan akar umbi memerlukan masa.

“Di samping itu juga, Warisan mungkin menghadapi cabaran besar untuk memenangi kawasan-kawasan yang ‘predominantly’ KDM (Kadazan, Dusun dan Murut) kerana masih ada persepsi rakyat di kawasan ini mengaitkan Warisan sebuah parti yang mesra PTI (pendatang tanpa izin) seperti yang dimanipulasikan pada PRK (pilihan raya kecil) Kimanis dan PRN (pilihan raya negeri) Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.