
Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, pembubaran Parlimen telah pun mengganggu belanjawan tahun depan yang dibentangkan pada 7 Okt.
Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, akan wujud tempoh ketidaktentuan yang singkat di negara ini sehingga kerajaan baharu dibentuk.
Williams berkata, sebaik sahaja dipilih, kerajaan baharu mungkin perlu membentangkan belanjawan baharu dan itu akan mengakibatkan ketidaktentuan mengenai pelbagai program fiskal dan pengagihan bantuan.
“Ini bukan masa yang tepat untuk (mengadakan) pilihan raya. Pertama, tidak banyak masa yang ada untuk membentangkan semula belanjawan selepas pilihan raya,” katanya kepada FMT Business.
Williams berkata, rakyat dan khususnya ahli ekonomi juga tidak akan mempunyai masa untuk memahami sepenuhnya kesan terhadap 200 projek di bawah belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul menolak dakwaan bahawa belanjawan yang dibentangkannya tidak lagi dapat diguna pakai selepas pembubaran Parlimen.
“Bajet boleh dibentangkan semula, seperti yang berlaku pada 1999 apabila pilihan raya kilat dipanggil (selepas Bajet 2000 dibentangkan). Sudah ada duluan,” katanya.
Menyangkal hujah Tengku Zafrul, Williams berkata, keputusan pilihan raya langsung tidak dapat dijangka kerana gabungan-gabungan politik tidak stabil.
“Tambahan pula, mungkin ada impak besar daripada Undi18 memandangkan terdapat ramai pengundi baharu sekarang,” katanya, merujuk kepada penurunan usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik.
Beliau berkata, pilihan raya yang mengejut itu juga akan menambah kepada ketidaktentuan jangka pendek, melainkan ahli politik mengemukakan “idea baharu yang menarik” untuk pembaharuan struktur yang akan membantu kerajaan baharu membina keyakinan.
“Sehingga itu, kita perlu tunggu dan lihat apa yang berlaku,” katanya.
Williams turut membangkitkan kebimbangan mengenai kesan pilihan raya akan datang terhadap ringgit. Beliau menegaskan bahawa mata wang itu kekal stabil berbanding dolar Amerika Syarikat apabila bajet dibentangkan pada 7 Okt, tetapi merosot susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt.
Beliau berkata, walaupun ahli ekonomi telah memberi amaran tentang kelembapan ekonomi, malah kemelesetan pada separuh kedua 2022, peningkatan permintaan telah menangguhkan kemungkinan kesan terburuk daripada kelembapan ekonomi global buat masa ini.
“Bagaimanapun, ini hanya (bagi) jangka pendek. Seperti yang telah kerajaan beritahu, keadaan akan menjadi lebih buruk pada 2023, dan ia akan mula kelihatan sebelum penghujung 2022,” tambahnya.
Tengku Zafrul telah memberi amaran bahawa 2023 akan menjadi tahun yang mencabar bagi semua negara, tetapi menolak dakwaan bahawa Malaysia sudah pun berada dalam krisis ekonomi.
Pada Rabu, Tabung Kewangan Antarabangsa menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun ini kepada 5.4%, daripada 5.1%.
Bagaimanapun, ia turut menyemak semula prospek negara Asean-5, iaitu Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Malaysia, untuk tahun depan, menunjukkan trend menurun, dengan memetik keadaan luaran yang kurang menggalakkan seperti pertumbuhan lebih perlahan dalam rakan perdagangan utama seperti China, Zon Euro dan AS.
Ferlito berkata, akan wujud tempoh singkat ketidaktentuan di negara ini sehingga kerajaan baharu dibentuk.
“Impak ekonomi untuk masa depan akan bergantung kepada agenda dasar dan visi kerajaan baharu,” katanya kepada FMT Business.
Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan baharu akan merasionalkan perbelanjaan operasi dan jenis ekosistem yang mereka bayangkan bagi pelaburan.
“Pilihan raya perlu diadakan kerana ia akan memaksa parti-parti politik untuk mendedahkan perancangan mereka dan diharapkan agenda ekonomi yang bagus akan muncul dan bertahan,” tambahnya.