Polis tahan suami isteri, bongkar makmal proses dadah

Polis tahan suami isteri, bongkar makmal proses dadah

Polis menahan pasangan yang sedang menaiki sebuah motosikal itu di tepi jalan di Gelugor bersama 1,810g heroin.

Ketua Polis Timur Laut Soffian Santong menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
BALIK PULAU:
Polis berjaya membongkar kegiatan makmal memproses heroin dengan penahanan seorang penyembelih ayam dan isterinya serta merampas pelbagai dadah bernilai RM81,330 dalam dua serbuan di Gelugor dan Bayan Lepas, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Timur Laut, Soffian Santong, berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan pasangan yang sedang menaiki sebuah motosikal itu di tepi jalan di Gelugor pada 8.30 malam bersama 1,810g heroin.

“Susulan penahanan lelaki tempatan berusia 43 tahun dan isterinya warga Thailand berumur 30 tahun itu, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Bukit, Bayan Lepas dua jam kemudian dan berjaya membongkar kewujudan makmal memproses heroin di situ.

“Hasil pemeriksaan di rumah sewa tersebut, polis merampas kafein seberat 14,880g, heroin (2,720g), pil yaba (309.54g) dan pelbagai peralatan termasuk dua ketuhar serta bahan kimia untuk memproses dadah tersebut,” katanya pada sidang media.

Soffian berkata, berdasarkan siasatan awal, pasangan itu mempunyai kepakaran memasak heroin yang dipercayai dipelajari daripada rangkaian sindiket pengedaran dadah dan polis kini sedang giat mengesan sindiket itu yang membekalkan bahan mentah dadah kepada mereka untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan mendapati heroin dihasilkan pasangan itu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembeli kerana lebih “kuat” ekoran mereka mencampurkan dadah itu bersama pil yaba.

Beliau berkata, suami isteri itu disyaki aktif menjalankan kegiatan memproses heroin sejak awal Januari lepas dan mereka turut mengedar sendiri dadah tersebut kepada pembeli di sekitar negeri ini.

“Polis percaya dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 24,197 penagih dan polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM27,000 daripada pasangan itu,” katanya.

Katanya, lelaki itu yang bekerja di sebuah pasar di Balik Pulau didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah manakala isterinya tidak bekerja dan kedua-duanya kini direman hingga Isnin ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, sejak Januari hingga 30 Sept tahun ini, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Timur Laut menahan 2,291 individu terlibat dalam kes berkaitan dadah dengan tangkapan paling tinggi membabitkan kesalahan memiliki dadah iaitu 1,037 individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.