
Syed Iskandar Syed Jaafar, 55, memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dengan menamakan Ismail Sabri Yaakob, pengerusi SPR dan kerajaan sebagai responden.
Memetik keadaan semasa dan faktor lain yang menjejaskan negara, katanya, Ismail bertindak tidak munasabah apabila menggunakan kuasanya untuk meminta Parlimen dibubarkan.
Pemohon itu yang juga pengundi di kawasan Parlimen Pandan memohon deklarasi bahawa permintaan Ismail kepada Yang di-Pertuan Agong pada Ahad lalu (9 Okt) terbatal dan tidak sah serta tiada kesan.
Syed Iskandar yang juga peguam berkata, Ismail tersilap dalam bergantung kepada Perkara 40(2)(b) dan 55(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menamatkan penggal Dewan Rakyat.
Beliau mahu writ larangan untuk menghalang pengerusi SPR atau kakitangan atau ejennya mengambil langkah bagi mengadakan PRU15.
Syed Iskandar, yang memfailkan permohonan itu melalui Messrs R Kengadharan & Co turut memohon relif lanjutan yang mungkin difikirkan perlu oleh mahkamah.
Isnin lalu, Ismail mengumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Pada hari sama, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Agong tiada pilihan selain memperkenankan permintaan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 kerana kecewa dengan perkembangan politik semasa.
Syed Iskandar, yang memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan itu, berkata Ismail melanggar kewajipan fidusiarinya kerana gagal mempertimbangkan kebajikan dan kepentingan golongan miskin.
Katanya, Ismail gagal mempertimbangkan impak banjir yang mungkin berlaku. Sebaliknya, perdana menteri sementara itu hanya mempertimbangkan kepentingan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi pertuduhan jenayah.
Isnin lalu, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago memfailkan saman pemula untuk menghalang SPR daripada mengadakan PRU15 atas alasan Ismail melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau memohon deklarasi bahawa permintaan pembubaran Parlimen oleh Ismail kepada Agong bercanggah dengan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Santiago berkata, permintaan itu tidak dibuat atas nasihat Jemaah Menteri, oleh itu ia terbatal dan tidak sah.