Kebebasan badan kehakiman penting untuk hakim buat keputusan, kata menteri

Kebebasan badan kehakiman penting untuk hakim buat keputusan, kata menteri

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keputusan memansuhkan hukuman mati mandatori adalah satu contoh memberi kebebasan kepada badan kehakiman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) sementara Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata hakim harus diberi kuasa membuat keputusan secara bebas tanpa gangguan.
KUALA LUMPUR:
Kebebasan badan kehakiman penting bagi memastikan hakim perbicaraan mampu melaksanakan tugas dengan kemampuan terbaik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) sementara, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Saya sangat percaya mahkamah harus diberi kuasa untuk membuat keputusan secara bebas tanpa gangguan atau campur tangan daripada sesiapa,” kata Wan Junaidi dalam simposium mengenai pindaan perlembagaan di Malaysia.

Katanya, kebebasan harus merangkumi kepada situasi di mana hakim perlu menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Wan Junaidi berkata, keputusan Jemaah Menteri untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan memberi kuasa budi bicara kepada hakim menjatuhkan hukuman adalah satu contoh mengekalkan kebebasan badan kehakiman.

“Keputusan Jemaah Menteri memansuhkan hukuman mati di Malaysia lebih berkisar dalam memberi kuasa budi bicara kepada hakim untuk membuat keputusan mengenai hukuman paling sesuai berdasarkan pelbagai keadaan kes yang dibicarakan,” katanya.

Pada 13 Sept lalu, Wan Junaidi berkata, Putrajaya bersetuju secara dasar terhadap hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori membabitkan 12 kesalahan mengikut undang-undang.

Katanya, hukuman alternatif akan menggantikan hukuman mati mandatori untuk 12 kesalahan termasuk bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 6 Okt, tujuh rang undang-undang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bagi membuat pindaan yang diperlukan pada undang-undang berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.