11 termasuk seorang wanita didakwa culik warga Palestin

11 termasuk seorang wanita didakwa culik warga Palestin

Mereka didakwa menculik Omar ZM Albelbaisy Raeda untuk mendapat rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Tertuduh didakwa menculik warga Palestin Omar ZM Albelbaisy Raeda menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) pada 5 Okt lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebelas individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Mereka ialah Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; Faizull Hardey Mohd Isa, 40; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; Nidarahayu Zainal, 34, dan Raibafie Amdan, 39.

Semua tertuduh mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia namun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara niat bersama telah menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept lepas mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh dijamin selepas Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi memaklumkan pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Dis ini.

Terdahulu, semua tertuduh tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, dengan dikawal ketat sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah.

Pada 5 Okt lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

Siasatan mendapati mangsa masuk ke negara ini pada 21 Sept lepas sebagai pelancong dan dipercayai tinggal di Eropah selain tidak menolak kemungkinan mangsa merupakan ahli perniagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.