
Peguam Kanan Persekutuan, Norfauzani Nordin, berkata Pegawai Penyiasat Faizal Abdullah perlu menyiasat beberapa perkara sebelum dapat melengkapkan siasatan.
Bagaimanapun, SN Nair yang mewakili keluarga mangsa mendakwa pihak berkuasa belum memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mengetahui status terkini siasatan.
“Sehingga hari ini, tiada bukti atau pengesahan rasmi mengenai siasatan yang sedang berjalan diberi kepada peguam atau keluarga.
“Ia sesuatu yang malang kerana kami harus dimaklumkan,” katanya kepada mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain kemudian bertanya kepada Norfauzani mengapa defendan tidak memberi sebarang jawapan kepada permintaan keluarga itu.
Norfauzani memberitahu, bukan pada peringkatnya untuk memaklumkan mengenai perkembangan siasatan.
Roz Mawar: Adakah ini benar, kenapa tiada penjelasan mengenai proses siasatan dan kini ia di peringkat mana?
Norfauzani: Yang arif, ini satu-satunya maklumat yang kami ada (merujuk kepada siasat masih berjalan).
Faizal antara empat defenden yang dinamakan dalam saman difailkan ibu Ivana, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen pada 20 Nov 2020 selepas siasatan awal polis mengklasifikasikan kematian wanita itu sebagai mati mengejut.
Tiga lagi defendan adalah ketua polis negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia.
Keempat-empat defendan disaman kerana didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab serta cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian mangsa.
Mahkamah menetapkan 4 Nov ini untuk pendengaran permohonan defendan bagi membatalkan saman berkenaan.
Ivana yang berusia 18 tahun dijumpai mati di tingkat enam sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 7 Dis 2017 selepas jatuh dari sebuah unit di tingkat 20 yang didiami pasangan warga Amerika Syarikat, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Sebelum ini, Nair menulis surat kepada Perdana Menteri Ismail Yaakob bagi menggesa beliau menyingkirkan Faizal daripada pasukan khas yang menyiasat kematian wanita itu.
Salinan surat itu turut diserahkan kepada pejabat peguam negara dan ketua polis negara.
Ismail pada Jun lalu memberi jaminan kepada Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte kematian model itu disiasat secara telus.
Bukit Aman menubuhkan satu pasukan petugas khas baharu untuk menyiasat kematian wanita itu selepas diklasifikasikan semula sebagai bunuh.