
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak berkata tarikh tutup permohonan akan diumumkan selepas mesyuarat khas urusan PRK DUN N66 Bugaya pada 20 Okt.
SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah mengenai kekosongan bagi bahagian pilihan raya berkenaan semalam, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya, yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa 6 Okt lepas.
Perintah pembatalan itu dinamakan sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) dan (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P185 Batu Sapi, Sabah; serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 2) (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P054 Gerik, Perak.
Selain itu, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 3) (Pembatalan) 2022) dan Proklamasi Darurat (No. 3) (Pembatalan) 2022 bagi kawasan DUN N66 Bugaya, Sabah.
Ikmalrudin berkata permohonan undi pos bagi Kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, polis, tentera, dan petugas media hendaklah memohon secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun dari portal rasmi SPR dan dihantar ke pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan.
“Alamat dan maklumat Pejabat Pegawai Pengurus boleh dirujuk di portal rasmi SPR. Bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 1C (agensi/organisasi) pula, permohonan hendaklah dikemukakan secara dalam talian melalui portal berikut: https://myspr.spr.gov.my/login,” katanya.