Najib kekal antara calon tanding di Pekan

Najib kekal antara calon tanding di Pekan

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Zamri Ramly mengesahkan anak Najib Razak, Nizar, tidak dicalonkan di kawasan Parlimen itu, sebaliknya dinamakan bertanding di DUN Chini, Bebar, Peramu Jaya dan Pulau Manis.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Zamri Ramly, berkata tiada perancangan meletakkan anak Najib Razak, Nizar, bertanding di kerusi Parlimen Pekan bagi menggantikan bapanya.
PETALING JAYA:
Umno Bahagian Pekan kekal menamakan bekas perdana menteri, Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun sebagai calon Pekan, kata timbalan ketua bahagian itu, Zamri Ramly.

Beliau berkata, nama bekas perdana menteri itu antara lima calon dikemukakan bahagian itu, selain menolak ada menamakan dua anak Najib, Nizar mahu pun Nooryana Najwa, bertanding di kerusi terbabit.

“Tidak ada perancangan meletakkan anak Datuk Seri Najib untuk bertanding di Parlimen Pekan jika beliau tidak layak bertanding.

“Sebaliknya, sesiapa yang dipilih bertanding di situ nanti akan menyerahkan kembali kerusi Parlimen Pekan kepada Datuk Seri Najib selepas mendapat pengampunan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zamri bagaimanapun enggan mendedahkan empat nama selain Najib yang menawarkan diri bertanding di Pekan pada PRU15 ini.

Beliau berkata, Nizar dicalonkan namun di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan Chini, Bebar, Peramu Jaya dan Pulau Manis.

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.