Kes basikal lajak: Rayuan kerani didengar 31 Mac tahun depan

Kes basikal lajak: Rayuan kerani didengar 31 Mac tahun depan

Mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis menjelang 16 Mac dan pengurusan kes terakhir akan diadakan pada hari berikutnya.

Sam Ke Ting keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas kesnya didengar sebelum ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Rayuan Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan memandu secara melulu yang menyebabkan kematian lapan remaja penunggang basikal diubah suai, atau “basikal lajak”, akan didengar pada 31 Mac tahun depan.

Peguam mewakili Sam, Harvinderjit Singh berkata, tarikh itu ditetapkan selepas pengurusan kes oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz.

“Kedua-dua pihak telah memaklumkannya bahawa rekod rayuan telah diterima dan Sam telah memfailkan petisyen rayuan,” katanya kepada FMT.

Timbalan Pendakwa Raya Fairuz Johari mewakili pendakwa raya, iaitu responden dalam rayuan itu.

Harvinderjit berkata, kedua-dua pihak telah diarahkan untuk memfailkan hujahan bertulis menjelang 16 Mac dan pengurusan kes terakhir akan diadakan pada hari berikutnya.

Pada 18 April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Sam merayu terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman serta membebaskannya dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuan didengar.

Hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap Sam pada 13 April selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas untuk membebaskannya.

Beliau turut memerintahkan Sam dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda dan mengenakan larangan memandu selama tiga tahun setelah tamat tempoh penjara.

Kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM20,000 jika sabit kesalahan.

Sam, kerani yang berusia 22 tahun ketika kejadian, didakwa melakukan kesalahan terbabit di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.

Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Azrie Danish Zulkefli, 14, Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14, Firdauz Danish Mohd Azhar, 16, Fauzan Halmijan, 13, Azhar Amir, 16, Harith Iskandar Abdullah, 14, Shahrul Nizam Marudin, 14, dan Haizad Kasrin, 16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.