Kekal dengan keputusan tidak bubar DUN, PH diberitahu

Kekal dengan keputusan tidak bubar DUN, PH diberitahu

Gabungan itu akan dilihat sebagai oportunis dan bersifat hipokrit jika ia mengubah fikiran, kata penganalisis politik Wong Chin Huat.

Wong Chin Huat menegaskan bahawa mengadakan PRN secara berasingan daripada PRU akan lebih bermanfaat bagi PH.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan patut kekal dengan keputusan awalnya untuk tidak membubarkan DUN di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, kata Wong Chin Huat.

Beliau berkata, gabungan itu menentang pilihan raya umum ke-15 diadakan semasa banjir, jadi tiada sebab untuk kerajaan negerinya perlu mengadakan pilihan raya negeri (PRN) seiring dengan dengan PRU15.

“Rakyat mengharapkan kerajaan negeri menumpukan seluruh tenaga dan sumber mereka kepada bantuan banjir, bukannya terganggu perhatian oleh pemilihan dan kempen,” katanya pada program yang disiarkan di Astro Awani.

Tambahnya, PH akan dilihat sebagai oportunis dan bersifat hipokrit dalam mengkritik Barisan Nasional (BN) jika ia mengubah fikiran.

Penganalisis politik daripada Universiti Sunway itu juga menegaskan bahawa mengadakan PRN secara berasingan daripada pilihan raya umum akan lebih bermanfaat kerana ia akan lebih menarik perhatian orang ramai pada masa yang berbeza.

“Kesan pertengahan penggal. Katakan BN memenangi PRU15 dan negeri-negeri lain mengadakan PRN lapan hingga sembilan bulan kemudian, BN mungkin tidak dapat menjamin kuasanya.”

Beliau membandingkannya dengan pilihan raya pertengahan penggal yang diadakan di Amerika Syarikat, yang menyaksikan parti yang tidak berkait dengan presiden lebih berkemungkinan menunjukkan prestasi lebih baik berbanding semasa pilihan raya presiden.

Wong juga berkata, dengan mengadakan PRN secara berasingan, parti-parti politik akan dapat mengenal pasti kelemahan mereka pada PRU15 dan memperbaiki diri untuk meraih lebih banyak sokongan.

“Atas tiga alasan ini, PH harus berpegang kepada keputusan awalnya dan tidak membubarkan DUN (negeri-negeri dikuasainya),” katanya.

Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sebelum ini menentang pembubaran DUN jika Parlimen dibubarkan tahun ini.

Semalam, pengerusi gabungan itu, Anwar Ibrahim berkata, perkara itu masih dibincangkan dengan pucuk pimpinan setiap parti komponen.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Selangor telah mendapat perkenan diraja untuk berkhidmat sepenuhnya sehingga pertengahan 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.