DUN Perlis lulus enakmen anti-lompat parti

DUN Perlis lulus enakmen anti-lompat parti

Kelmarin, Menteri Besar Azlan Man berkata beliau hanya akan memohon perkenan Raja Perlis membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas kelulusan rang undang-undang itu.

Azlan Man mengusulkan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis bagi membolehkan enakmen anti-lompat parti dilaksanakan di negeri ini. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Tiga belas ADUN yang hadir ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebulat suara bersetuju dengan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis bagi membolehkan enakmen anti-lompat parti dilaksanakan di negeri ini.

Usul bagi pindaan tersebut dibawa Menteri Besar Azlan Man (BN-Bintong) dan disokong Asmaiza Ahmad (BN-Chuping).

Pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis dengan memasukkan perkara 50A berkaitan larangan ADUN di negeri ini bertukar parti itu dibahaskan oleh kesemua 13 ADUN yang hadir.

Ia disokong oleh kesemua ADUN itu yang terdiri daripada lapan ADUN BN dan lima ADUN pembangkang.

Dua ADUN iaitu ADUN Titi Tinggi Teh Chai Aan (BN) dan ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli (PAS) tidak hadir atas sebab tertentu dan telah mendapat keizinan Speaker DUN Perlis Hamdan Bahari.

Sementara itu, Azlan berkata, proses seterusnya ialah mendapatkan perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi membolehkan Rang Undang-Undang itu diguna pakai dan diwartakan.

Kelmarin, Azlan berkata, DUN Perlis akan dibubarkan selepas kelulusan pindaan RUU anti-lompat.

“Insyaallah, saya akan mempersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, tarikh yang bersesuaian untuk dibuat pembubaran DUN supaya kita dapat mengadakan pilihan raya negeri bersekali dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di peringkat persekutuan,” katanya menurut Harian Metro.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.