DPPA mampu pacu hala tuju APM untuk 10 tahun, kata PM

DPPA mampu pacu hala tuju APM untuk 10 tahun, kata PM

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata ini termasuk aspek pengurusan bencana dan kesiapsiagaan nasional yang menjadi agenda utama diberi perhatian oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abd Latiff Ahmad (kiri) ketika merasmikan buku Dekad Platinum Angkatan Pertahanan Awam 2022-2023 di Bangi, malam tadi.
BANGI:
Dokumen Dekad Platinum Pertahanan Awam (DPPA) 2022-2032 yang dilancarkan semalam mampu memacu hala tuju Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata ini termasuk aspek pengurusan bencana dan kesiapsiagaan nasional yang menjadi agenda utama diberi perhatian oleh kerajaan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“DPPA yang diperkenalkan ini bertujuan memperkukuhkan lagi perkhidmatan APM serta dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang teguh bersama, berdaya tahan serta mampu mengadaptasi konsep masyarakat yang mampu membantu diri sendiri dalam kehidupan seharian.

“(Ini) terutama ketika berhadapan sebarang insiden kecemasan, krisis, bencana dan peperangan,” katanya pada Majlis Sambutan Dekad Platinum APM di sini semalam.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abd Latiff Ahmad.

Ismail Sabri juga berkata komitmen pelbagai pihak dalam menjalin hubungan kerjasama strategik yang inklusif dalam pengurusan bencana dan kesiapsiagaan nasional adalah sangat penting.

“Hal ini selaras dengan keterangkuman kerangka dekad platinum yang telah digariskan dan dilihat mampu mengukuhkan lagi daya tahan komuniti Keluarga Malaysia,” katanya.

DPPA 2022-2032 dicetuskan bertepatan dengan kemampuan APM sebagai agensi pengurusan bencana dan kecemasan dalam memelihara keselamatan serta kesejahteraan komuniti selain memfokus kepada pemerkasaan pengurusan bencana yang efektif khusus dalam melindungi kebajikan mangsa bencana, nyawa dan harta benda.

Sasaran DPPA memiliki pelan jelas dengan program yang berkesan dan boleh dicapai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.