Aliff Syukri berdepan 4 tuduhan berkait video sumbang

Aliff Syukri berdepan 4 tuduhan berkait video sumbang

Usahawan kosmetik kontroversi itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.

Aliff Syukri Kamarzaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Sepang hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang pada April lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Usahawan kosmetik kontroversi, Aliff Syukri Kamarzaman, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Sepang, hari ini, atas empat tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang pada April lalu.

Bagaimanapun, dia yang juga orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April lalu, yang dilihat pada 24 April di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di Cyberjaya.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamed Fadzil menawarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi Aliff Syukri.

Namun peguam, Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Aliff Syukri, merayu supaya jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya bekerja sendiri dan telah berkahwin serta mempunyai lima anak.

Katanya, anak guamnya sebagai seorang yang rapat dengan keluarga dan sedar bahawa perbuatan melarikan diri akan menyebabkan kepayahan kepada keluarganya.

Menurutnya juga, sebagai ahli perniagaan, Aliff Syukri bertanggungjawab terhadap ramai pekerjanya.

Ahmad Rizki kemudian menetapkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, dan 25 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Aliff Syukri membayar ikat jamin berjumlah RM20,000.

Usahawan itu pada 26 April lalu dipanggil memberi keterangan di SKMM di Cyberjaya bagi membantu siasatan susulan klip video muzik sempena Aidilfitri.

Klip itu yang memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.