PRU15: PH pertimbang pakatan pilihan raya dengan Muda

PRU15: PH pertimbang pakatan pilihan raya dengan Muda

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata kemasukan Muda dalam gabungan itu sebelum PRU15 mungkin sukar kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Anwar Ibrahim berkata, JPPM tidak mungkin meluluskan sebarang permohonan untuk Muda menganggotai PH sebelum PRU15. 
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan Muda berbanding menerimanya sebagai parti komponen bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PH, Anwar Ibrahim berkata, sukar untuk menerima Muda sebagai parti komponen kelima gabungan itu kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

“Setakat ini, (perbincangan untuk membentuk) pakatan pilihan raya sebab kalau (terima mereka sebagai) ahli rasmi perlu kelulusan JPPM.

“Jadi, saya tidak fikir JPPM akan luluskan apa-apa sekarang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Ibu Pejabat PKR.

Semalam, Anwar menafikan dakwaan PH menolak permohonan Muda menyertai gabungan itu bagi menghadapi PRU15.

Beliau sebaliknya berkata, rundingan kira-kira sebulan lalu itu masih berjalan dan mencatat kemajuan baik.

Presiden PKR itu mengulas laporan media memetik sumber dalam PKR yang mendakwa Majlis Presiden PH menolak permohonan Muda menyertai gabungan itu dalam mesyuarat minggu lalu.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat partinya menyertai PH bulan lalu. Permohonan rasmi dibuat pada 9 Sept lalu.

Katanya, objektif utama parti itu ialah memberi nilai tambah kepada pembangkang pada PRU15, bukannya untuk memenangi kerusi semata-mata.

Parti komponen PH berbeza pendapat sama ada Muda perlu diterima ke dalam gabungan itu, dengan PKR membantahnya. Sesetengah pemimpin berkata, penyertaan Muda tidak akan menambah nilai kepada PH, manakala yang lain mendakwa ia akan menjadi liabiliti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.