Polis berdepan kekangan anggota jika banjir, PRU15 serentak, kata menteri

Polis berdepan kekangan anggota jika banjir, PRU15 serentak, kata menteri

Dianggarkan lebih 94,000 anggota polis perlu ditugaskan pada PRU15 daripada 120,000 kekuatan keseluruhan.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata kekuatan anggota polis juga perlu diatur gerak bagi penugasan PRU15.
KUALA LUMPUR:
Polis dijangka menghadapi kekangan anggota dalam menggerakkan operasi pengurusan banjir jika bencana itu berlaku serentak dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, berkata ini kerana kekuatan anggota polis juga perlu diatur gerak bagi penugasan PRU15 selaras dengan akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Berdasarkan rekod, hampir 75,000 anggota polis ditugaskan dalam pilihan raya umum lalu. Bagi PRU15, PDRM menganggarkan lebih 94,000 anggota perlu ditugaskan daripada 120,000 kekuatan keseluruhan.

“Peningkatan pengundi kali ini menyebabkan peningkatan saluran yang memerlukan penambahan anggota iaitu sekurang-kurangnya seorang anggota polis bertugas bagi setiap saluran dan dibantu anggota Rela yang bertugas di luar pusat mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat keselamatan dan persediaan menghadapi banjir Monsun Timur Laut di Bukit Aman.

“Apa yang kita takutkan adalah PRU15 bertembung dengan banjir dan sebab itu kami berbincang dengan agensi lain jika berlaku penugasan menyelamat mangsa banjir nanti”.

Bagaimanapun, Hamzah berkata KDN sedia berdepan pelbagai kemungkinan dan berharap ketika proses PRU15 berjalan tidak berlaku banjir besar.

Beliau berkata, KDN melalui Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Bersepadu (JKPB) sudah melakukan simulasi komprehensif di lima zon di semua 14 negeri di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi banjir dan PRU15.

“Kita sudah menjalankan simulasi yang tidak hanya membabitkan PDRM tetapi juga agensi lain sebagai persiapan menghadapi banjir dan PRU15,” katanya.

Beliau berpuas hati dengan persediaan dan kesiapsiagaan aset strategik dan anggota PDRM yang boleh diatur gerak khusus bagi menghadapi banjir besar pada bila-bila masa.

“PDRM akan dibantu oleh jabatan dan agensi lain bawah KDN seperti Rela dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Seramai 21,018 anggota polis, 367 bot, 845 pacuan empat roda, 454 lori serta 11 aset udara sedia untuk dikerahkan mengikut keperluan dan perkembangan semasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.