Mayat wanita reput ditemui di Ipoh, punca kematian akibat dicekik

Mayat wanita reput ditemui di Ipoh, punca kematian akibat dicekik

Polis mengklasifikasikan kes itu semula sebagai kes bunuh, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat wanita yang ditemui dalam keadaan reput dekat persimpangan lampu isyarat di Jalan Tambun, Ipoh hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Hasil bedah siasat ke atas mayat wanita yang ditemui dalam keadaan reput dekat persimpangan lampu isyarat di Jalan Tambun di sini mendapati mangsa mati akibat dicekik.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut, siasatan identiti mangsa dipercayai seorang wanita tempatan berumur 23 tahun, berdasarkan lambang tatu di lengan dan jari tangan.

“Telefon bimbit yang dijumpai di tempat kejadian juga disahkan milik mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu berhubung dengan pegawai penyiasat kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan satu mayat wanita ditemui dalam kawasan semak, selepas polis menerima maklumat pada 5.25 pagi tadi mengenai sebuah kereta yang terbabas di tepi longkang.

Yusri berkata, semasa anggota polis tiba untuk menjalankan siasatan mengenai kemalangan itu, mereka menjumpai mayat reput itu dalam kawasan semak dengan jarak kira-kira 2m dari lokasi kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandu seorang lelaki itu terbabas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.