
Santiago, yang memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini semalam, menamakan Ismail, kerajaan dan SPR sebagai responden.
Beliau mahukan deklarasi bahawa permintaan Ismail kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan bercanggah dengan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Santiago berkata, permintaan itu tidak dibuat atas nasihat Jemaah Menteri dan oleh itu, terbatal dan tidak sah.
Pada Isnin, Ismail mengumumkan bahawa Parlimen telah dibubarkan, membuka laluan kepada PRU15 diadakan.
Ini bermakna, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan hari ini (10 Okt),” katanya dalam perutusan khas.
Santiago juga menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).
Peruntukan Perkara 40(1) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri.
Pemimpin DAP itu juga menuntut deklarasi bahawa pembubaran Parlimen ke-14, pada 10 Okt tidak mengikut Perkara 55(2) dibaca bersama Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.
Justeru, katanya, SPR tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah mengadakan PRU, termasuk tetapi tidak terhad kepada pengeluaran mana-mana writ bawah Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 dan pengeluaran sebarang notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.
Santiago juga memohon suatu perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi untuk menghalang SPR dan ejen, pengkhidmat dan/atau pekerjanya daripada mengambil sebarang langkah untuk mengadakan PRU.
Semalam, Ismail menyalahkan Muhyiddin Yassin dan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) menjejaskan keharmonian Jemaah Menteri sehingga menyebabkan kerajaan tidak dapat dipertahankan dan memaksanya membubarkan Parlimen.
Beliau merujuk tindakan 12 menteri terbabit mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentang pilihan raya umum ke-15 diadakan tahun ini dan Muhyiddin mengisytiharkan Barisan Nasional sebagai musuh utama PN pada pilihan raya.
Katanya, tindakan Muhyiddin itu sebagai punca perpecahan dalam kerajaan, ketika PN menjadi sebahagian daripada pentadbirannya.
“Tindakan menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi perdana menteri, yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Menjawab dakwaan Ismail, Muhyiddin pula menuduh Ismail “tidak bertanggungjawab” meletakkan kesalahan terhadapnya dan menteri PN berhubung perkara itu.
Katanya, Ismail menuding jari itu kepada PN kerana Barisan Nasional (BN) dan Umno sedang menghadapi serangan teruk daripada orang ramai kerana pilihan raya umum akan diadakan ketika musim banjir.
“Tetapi mereka tidak boleh menyalahkan sesiapa. Mereka sendiri perlu bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di Sabah.