
Difahamkan, tindakan itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana menyeludup keluar barang kawalan ke Filipina.
Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan di pejabat SPRM cawangan Tawau kira-kira 5.40 petang ketika hadir memberi keterangan.
Katanya, suspek warga tempatan itu dipercayai memberi rasuah sebanyak RM800 kepada pegawai PGA yang sedang bertugas di Pulau Mataking.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan.
Katanya, penahanan suspek bagi membantu siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
“Tiada permohonan reman dibuat dan suspek dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin pada hari sama,” katanya.
Karunanithy berkata, penahanan itu hasil kerjasama pihaknya dengan PGA dalam usaha membanteras rasuah di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, Karunanithy mengingatkan orang ramai supaya jangan menawar atau memberi sebarang sogokan kepada penjawat awam khususnya pegawai penguat kuasa kerana ia adalah kesalahan mengikut Akta SPRM 2009.