Zeti akan beri keterangan dalam bicara 1MDB, pendakwaan beritahu mahkamah

Zeti akan beri keterangan dalam bicara 1MDB, pendakwaan beritahu mahkamah

Zeti Akhtar Aziz akan menjawab dakwaan pihak pembelaan bahawa Jho Low sering berkunjung ke rumahnya.

Tahun lalu, suami dan anak bekas gabenor Bank Negara Malaysia, Zeti Akhtar Aziz didakwa menerima RM100 juta daripada Jho Low.
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak mengesahkan bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz akan dipanggil sebagai saksi mereka.

Pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram berkata demikian selepas peguam Najib, Shafee Abdullah mendakwa ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low, sering berkunjung ke rumahnya.

Shafee bertanya kepada bekas pengarah urusan Ambank, Cheah Tek Kuang jika beliau pernah melihat Low di rumah Zeti di Bukit Tunku.

Cheah berkata, beliau tidak nampak Low di rumah Zeti ketika dia menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri untuk kenalan dalam bidang perbankan.

“Saya sangat pasti,” katanya.

Sri Ram kemudian berkata: “Kami akan memanggilnya (Zeti sebagai saksi) dan dia akan menjawabnya (dakwaan Low kerap mengunjungi rumahnya).”

Tahun lalu, blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa suami dan anak Zeti menerima RM100 juta dari Low.

Ahli keluarganya didakwa menandatangani akuan berkanun (SD) mengakui mereka menerima berjuta-juta ringgit daripada sebuah syarikat dikaitkan dengan Low menerusi akaun bank Singapura.

Najib sebelum ini menggesa Zeti tampil menolak dakwaan itu, dengan memetik tindakannya mengeluarkan kenyataan pada Mei 2018 untuk mengisytiharkan dirinya tidak tahu mengenai kewujudan dana atau transaksi dalam akaun bank bekas perdana menteri itu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, polis sudah mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan terhadap suami Zeti, Tawfiq Ayman.

Shafee turut bertanya Cheah sama ada beliau sedar 1MDB “tidak berpuas hati” dengan AmBank yang didakwa meraih “keuntungan rahsia” daripada penjualan bon RM5 bilion 1MDB kepada pelanggan sekunder.

Cheah berkata, beliau tidak tahu berhubung perkara itu kerana tidak menghadiri sesi taklimat pegawai AmBank kepada pengarah 1MDB mengenai nota jangka sederhana Islam (IMTN) RM5 bilion.

Katanya, “tiada bank yang akan mendedahkan keuntungan diraih mereka daripada perdagangan (bon)”.

“Saya tidak fikir kami bertindak tidak adil terhadap mereka. Bon Islam selalunya dijual pada harga diskaun untuk mencerminkan kadar faedah semasa.”

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib, 69, sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun Ambanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.