
“Saya akan mohon menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada esok, Rabu,” lapor Berita Harian.
Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, berkata DUN Perak hanya akan dibubarkan jika mendapat perkenan Sultan Nazrin.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ismail juga menggesa kerajaan negeri membubarkan DUN masing-masing, susulan pembubaran Parlimen kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor.
Bagaimanapun, ketika ini hanya negeri dikuasai Barisan Nasional (BN) akan membubarkan DUN, manakala negeri lain belum menyatakan kesediaan sebaliknya menunggu penggal berakhir tahun hadapan.
Perak mempunyai 59 kerusi DUN. BN menguasai 25 kerusi DUN diikuti PN (7) manakala Parti Bangsa Malaysia (3). Pembangkang pula terdiri 24 ADUN iaitu DAP (16) Amanah (5) dan PKR (3).