PSM sah minta kerusi Sg Siput daripada PH

PSM sah minta kerusi Sg Siput daripada PH

PSM berkata ia hanya meminta kerusi Sungai Siput untuk Pengerusinya, Dr Michael Jeyakumar Devaraj dan kerusi lain yang tidak disandang PH.

Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang juga bekas PKR, adalah Ahli Parlimen Sungai Siput dua penggal dari 2008 hingga 2018.
PETALING JAYA:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengesahkan permintaan untuk bertanding kerusi Parlimen Sungai Siput dalam rundingannya bagi pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj adalah Ahli Parlimen Sungai Siput dua penggal dari 2008 hingga 2018. Bagaimanapun, beliau tewas kepada S Kesavan dari PKR pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) selepas rundingan antara PH dan PSM menemui kegagalan.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Pengerusi PSM, S Arulchelvan, berkata parti itu hanya meminta kerusi Sungai Siput untuk Jeyakumar dan kerusi lain yang tidak disandang PH.

Tambahnya, ini “sangat munasabah” dan minimum, di samping persetujuan PSM untuk menggunakan logo PH.

“Ramai media bertanyakan kepada kami kerusi mana yang akan ditandingi. Ini akan ditentukan menerusi sama ada pakatan pilihan raya dengan PH berjaya atau tidak.

“Sejak mesyuarat terakhir kami dengan jawatankuasa PH pada 30 Sept, kami masih belum mendengar sebarang keputusan rasmi daripada jawatankuasa itu, yang mengatakan mereka akan melaporkan kepada majlis presiden PH,” katanya.

Katanya, parti itu akan terus mengadakan bengkel untuk calon yang disenarai pendek dan pengurus kempennya sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Sebelum ini, PSM berkata ia sedang mencari pakatan pilihan raya dengan PH untuk membenarkan “empat atau lima” calonnya bertanding kerusi DUN dan parlimen di bawah tiket PH pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, PSM tiada rancangan untuk menyertai PH secara rasmi sebagai parti komponen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.