Perlu ada had maksimum umur calon pilihan raya, kata penganalisis

Perlu ada had maksimum umur calon pilihan raya, kata penganalisis

Mujibu Abd Muis menyifatkan keputusan GTA mencalonkan Dr Mahathir Mohamad langkah ke belakang dan membuktikan politik personaliti masih tebal di Malaysia.

GTA mencalonkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad di kerusi Parlimen Langkawi.
PETALING JAYA:
Had umur maksimum dan pemeriksaan kesihatan perlu menjadi antara kriteria utama dalam pendaftaran calon pilihan raya, kata seorang penganalisis politik.

Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara berkata, had umur calon pilihan raya perlu ditetapkan pada 60 tahun, selain mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengelakkan perkara luar jangka berlaku yang boleh mengakibatkan pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu sukar dilaksanakan kerana ia di luar bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya, selain faktor parti politik yang berkuasa menentukan calon mengikut kehendak dan keperluan parti.

Beliau berkata, tindakan Gerakan Tanah Air (GTA) mencalonkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad di kerusi Parlimen Langkawi, juga dilihat langkah tidak sihat untuk pendemokrasian buat jangka panjang.

“Politik gerontologi ini jelas langkah ke belakang kerana kita sudah membuka pentas politik kepada orang muda melalui Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik,” katanya ketika dihubungi FMT.

Mujibu berkata, tindakan GTA membuktikan budaya politik personaliti masih tebal di Malaysia disebabkan nama besar yang mempunyai pengaruh dan berupaya meraih sokongan.

“Perkiraan untuk menang ‘at all cost’ (dengan apa cara sekalipun) mungkin membenarkan telahan bahawa politik baharu yang kita laungkan itu sebenarnya masih jauh daripada jangkauan, mungkin belum bermula pun, apatah lagi tertangguh,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Sivamurugan Pandian tidak melihat strategi GTA mencalonkan Mahathir di Langkawi sebagai isu disebabkan pengalaman yang dimiliki bekas perdana menteri itu.

“Pada PRU14, ada yang mengatakan beliau (Mahathir) tidak relevan lagi, tetapi akhirnya beliau menang bergaya sehingga dilantik menjadi PM ketujuh,” katanya.

Beliau berpendapat had umur maksimum calon pilihan raya tidak perlu kerana ia bertentangan usaha meraikan demokrasi dan pilihan raya, selain dapat memastikan setiap kelompok umur mahupun jantina mampu memainkan peranan dalam proses pembangunan negara.

“Era politik matang bukan pada umur, tetapi pada kewibawaan, ketokohan dan kemampuan memimpin, baik dalam kalangan tua mahu pun muda. Sistem pengkaderan parti penting bagi memastikan ada kesinambungan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.