
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, berkata perdana menteri dan barisan Kabinet sementara perlu memulangkan semula aset kerajaan dan tidak mengumumkan sebarang “hadiah pilihan raya” ketika berkempen.
Beliau turut mengingatkan Jemaah Menteri agar tidak menandatangani kontrak projek terutama berskala besar atau berkepentingan awam ketika ini.
“Prinsip-prinsip ini sewajarnya menjadi rukun kerajaan sementara, terutama untuk elak salah guna kuasa, rasuah, dan persepsi salah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali, berkata Kabinet kini berfungsi sebagai kerajaan ‘caretaker’ atau kerajaan sementara dengan mesyuarat Jemaah Menteri masih boleh dijalankan seperti biasa.
Pun begitu, beliau berkata, Jemaah Menteri tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar baharu walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.
Zuki berkata, Kabinet juga boleh meneruskan pelaksanaan dasar dan keputusan yang telah dibuat terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan perdana menteri dalam perutusan khasnya mengumumkan pembubaran Parlimen penggal ke-14, semalam, bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum Ke-15 (PRU-15).