Bubar Parlimen rintis laluan kestabilan

Bubar Parlimen rintis laluan kestabilan

Pilihan raya akan memulihkan keyakinan perniagaan dan membawa masuk pelabur ke negara, kata pakar ekonomi.

Kekurangan tenaga buruh menjadi antara faktor menyukarkan perniagaan.
PETALING JAYA:
Pembubaran Parlimen semalam berkemungkinan menyebabkan ketidaktentuan politik, namun hanya dalam jangka pendek, kata seorang pakar ekonomi.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan ketidaktentuan itu akan dipulihkan dan keseimbangan politik dicapai sebaik sahaja pilihan raya diadakan, sekali gus memberi kebaikan kepada perniagaan.

Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, menegaskan sektor swasta tidak berpuas hati dengan beberapa faktor yang menyukarkan mereka menjalankan perniagaan.

Katanya, antara rungutan mereka membabitkan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kekurangan tenaga buruh dan kenaikan harga barang yang tidak terkawal.

Shankaran Nambiar.

“Persekitaran politik yang stabil adalah penting untuk perniagaan, dan beberapa seruan untuk mengadakan pilihan raya tidak membantu. Sindiran mengatakan perdana menteri lemah menambahkan lagi masalah,” katanya kepada FMT.

“Iklim politik yang tidak menentu juga menyebabkan isu ekonomi seolah-olah tidak diberi perhatian sepenuhnya,” tambahnya.

Nambiar percaya seperti mana kebimbangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan baharu melalui mandat yang jelas akan melakukan lebih baik untuk ekonomi daripada “cuba menarik kuasa menentangnya”.

“Perdana menteri pasti berasa kurang berhikmah jika ditarik ke sana dan ke mari. Ia akan merugikan ekonomi jika sebelah mata memandang ekonomi dan satu lagi untuk menjaga keseimbangan politik,” katanya.

Berjoyai Bardai.

Seorang lagi pakar ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, berkata sektor perniagaan swasta berjalan seperti biasa memandangkan pentadbiran masih berfungsi.

Bagaimanapun, beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai kesuntukan masa selepas pilihan raya untuk membentang dan meluluskan bajet baharu 2023, sebelum akhir tahun.

Katanya, cadangan bajet dibentangkan Jumaat lalu oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dianggap terbatal dan tidak sah.

“Sekiranya kita gagal meluluskan bajet baharu sebelum tahun ini berakhir, tidak ada peruntukan untuk perkhidmatan awam pada Januari hadapan. Ia akan ‘tergantung’,” katanya.

Barjoyai berkata, berkemungkinan kerajaan terpaksa memperkenalkan dana kecemasan untuk menangani perkara itu.

Beliau turut berharap agar Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi diketuai Annuar Musa akan terus berfungsi memandangkan peranannya masih penting sehingga akhir tahun dalam persekitaran kesan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.