
“Belum dapat tarikh…saya tidak mahu mendahului Tuanku,” katanya ringkas semasa ditanya jika DUN Pahang akan dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ekoran pembubaran Parlimen semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Traktor kepada Jabatan Pertanian Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, yang berlangsung sebelum persidangan DUN Pahang bermula hari ini.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata DUN di bawah pentadbiran BN kecuali Melaka, Johor dan Sabah akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.
Pahang ditadbir BN selepas keputusan PRU14 menyaksikan BN menang 25 daripada 42 DUN, manakala Pakatan Harapan (9) dan PAS (8).
Mengulas mengenai program hari ini, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM3.4 juta bagi membeli 22 traktor untuk membantu petani yang berhadapan dengan kesukaran menyewa traktor bagi menguruskan tanah pertanian mereka.
“Ini merupakan kali pertama kerajaan negeri menawarkan bantuan seumpamanya. Traktor ini akan diletakkan di bawah kendalian Jabatan Pertanian dan mereka yang berhasrat menggunakannya, boleh menyewa pada kadar yang sangat murah,” katanya.
Wan Rosdy berkata 10 daerah di negeri ini, kecuali Cameron Highlands, masing-masing akan menerima dua buah traktor manakala dua lagi diletakkan di pejabat Jabatan Pertanian negeri.