Badan Peguam akan bantah rayuan peguam UK untuk wakili Najib

Badan Peguam akan bantah rayuan peguam UK untuk wakili Najib

Badan itu menganggap rayuan Jonathan Laidlaw sebagai hanya bersifat akademik memandangkan Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan dalam kes terhadap Najib.

Peguam Diraja dari UK, Jonathan Laidlaw, mahu mencabar keputusan mahkamah yang tidak membenarkannya mewakili Najib Razak. (Gambar 2HareCourt )
PUTRAJAYA:
Badan Peguam akan mengemukakan bantahan di Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan peguam dari UK, Jonathan Laidlaw, untuk dibenarkan mewakili Najib Razak dalam kes SRC International.

Bastian Pius Vendargon yang mewakili Badan Peguam berkata, pihaknya menganggap rayuan Laidlaw itu sekadar bersifat akademik memandangkan Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan dalam kes Najib pada Ogos lalu.

Mahkamah ketika itu mengekalkan sabitan terhadap Najib, selain hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi pelbagai tuduhan rasuah berkaitan dana syarikat milik kerajaan, SRC International.

Laidlaw yang juga Peguam Diraja memohon pada Julai lalu untuk mewakili Najib. Peguam warga asing mesti membuat permohonan ad-hoc ke Badan Peguam sebelum boleh mewakili anak guam di negara ini.

Permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Julai selepas Laidlaw dilihat tidak memiliki kelayakan dan pengalaman khas yang tiada dalam kalangan peguam tempatan.

Laidlaw memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos, iaitu hari keputusan kes terhadap Najib. Bagaimanapun, Vendargon berkata peguam Najib masih belum memfailkan rekod rayuan.

Katanya, notis bantahan Badan Peguam telah diserahkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron.

Vendargon berkata, Suhaila membenarkan mana-mana pihak yang mahu memfailkan usul berkaitan bantahan itu secepat mungkin. Beliau seterusnya menetapkan 8 November untuk pengurusan kes.

Pihak lain dalam kes itu adalah Peguam Negara Idrus Harun dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.