
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya mengambil maklum pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam bagi memberi laluan untuk PRU15.
Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan semua agensi terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pemilihan demokratik itu nanti lancar.
“Selain penempatan anggota dan kerjasama dengan SPR, polis turut mengatur persediaan untuk berganding bahu dengan agensi penyelamat bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana alam dalam tempoh berlangsungnya PRU15.

“Kita meminta orang ramai agar bekerjasama memainkan peranan agar pilihan raya umum kelak berlangsung tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Acryl Sani berkata sebagai anggota masyarakat yang matang dalam menghadapi senario politik, usaha semua pihak untuk mengelak daripada menyentuh perkara-perkara sensitif amat diperlukan.
Menurutnya, mereka komited dalam menjalankan penugasan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Terdahulu, Ismail Sabri dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen dan menyatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.
Perdana menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.