2/3 banduan layak jalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030

2/3 banduan layak jalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030

Terdapat 82,539 penghuni penjara, dengan 76,336 daripadanya banduan di penjara, manakala 6,203 orang ditempatkan dalam program pemulihan dalam komuniti.

Program pemulihan dalam komuniti terbukti berkesan kerana berjaya mengurangkan kadar penjenayah berulang, dengan anggaran hanya seorang daripada 400 penghuni dibebaskan akan kembali ke penjara.
KAJANG:
Jabatan Penjara menyasarkan 2/3 banduan layak menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030.

Ketua Pengarahnya, Nordin Muhamad berkata, inisiatif yang dilaksanakan sejak 2008 seperti sistem parol, perintah kehadiran wajib (PKW), program reintegrasi penghuni (PRP), pelepasan banduan secara lesen (PBSL) dan beberapa program lain, dapat mengurangkan kesesakan penjara di seluruh negara.

Berdasarkan statistik Penjara Malaysia, katanya, terdapat 82,539 penghuni penjara, dengan 76,336 daripadanya banduan di penjara, manakala 6,203 orang ditempatkan dalam program pemulihan dalam komuniti.

“Pada masa ini, kapasiti penjara di seluruh negara hanya boleh menempatkan kira-kira 66,000 penghuni, jadi terdapat kesesakan kira-kira 10,000 penghuni.

“Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan kadar kesesakan dan kita menganggarkan lebih ramai pesalah akan dipertimbangkan mahkamah untuk menjalani program pemulihan dalam komuniti,” katanya dalam pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) di Ibu Pejabat Penjara.

Nordin berkata, pelaksanaan pindaan rang undang-undang baharu itu juga dapat memberi peluang kepada pesalah hukuman ringan menjalani hukuman di luar penjara.

Katanya, program pemulihan dalam komuniti terbukti berkesan kerana berjaya mengurangkan kadar penjenayah berulang, dengan anggaran hanya seorang daripada 400 penghuni dibebaskan akan kembali ke penjara.

“Kita menyasarkan untuk mencapai 10,000 pesalah yang menjalani PKW tahun ini dan kita sudah mencapai 79.5%, dan yakin jumlah itu dapat dicapai sebelum November ini.”

Setakat ini, katanya, terdapat 52 pusat PKW dan beliau berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menambah 20 lagi pusat di seluruh negara.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang mewakili Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.

Wan Ahmad Dahlan dalam ucapannya berkata, Jabatan Penjara dapat menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta setahun menerusi program dan inisiatif yang dilaksanakan.

Katanya, sebanyak RM5.5 bilion dibelanjakan sejak lima tahun lalu bagi kos pengurusan kepenjaraan untuk penyediaan peralatan, kemudahan, perubatan, makanan, kawalan, pengiringan, emolumen kakitangan dan sebagainya.

“Pesalah tersebut akan ditempatkan dalam industri dan seterusnya dapat mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.