Pemimpin Umno ambil kira kritikan strategi media sosial

Pemimpin Umno ambil kira kritikan strategi media sosial

Shahril Hamdan dan Wan Agyl Wan Hassan mengulas kritikan berhubung kekurangan BN dalam infrastruktur dan strategi di media sosial.

Shahril Hamdan, berkata wujud asimetri dalam peluang tarikan di media sosial, manakala Wan Agyl Wan Hassan berkata Umno sedar apa keperluannya.
PETALING JAYA:
Dua pimpinan Umno berkata pihaknya akan mengambil kira komen dibuat terhadap kurangnya kehadiran Barisan Nasional (BN) di media sosial.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata pemimpin BN akan memberi pertimbangan terhadap apa jua kritikan adil dan tidak menolak nasihat daripada pihak ketiga membabitkan peningkatan cara kempen pilihan raya.

Semalam, Romen Bose, yang menulis buku berhubung kejatuhan BN pada pilihan raya umum 2018, berkata BN terus berdepan kekurangan infrastruktur dan strategi media sosial.

Sharil berkata, Bose membangkitkan “satu perkara yang adil memandangkan ada segmen besar populasi yang tidak pernah disentuh melalui tradisi lapangan dilakukan BN”.

“Kami akan mengambil kira komen seperti itu sebagai cabaran pembaikan, menggunakan infrastruktur digital dengan lebih baik dan akhirnya biar pilihan raya memutuskannya,” katanya.

Katanya, platform media sosial BN diterajui Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Shamsul Anuar Nasarah, mempunyai pelbagai pelan tindakan termasuk sumber.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan, berkata ada benarnya apa yang diperkatakan Bose mengenai ketidakmampuan BN menjadi penarik kepada pengundi bandar.

“Pengundi luar bandar mungkin senarionya berbeza, namun saya tidak menolak apa yang disebut. Saya percaya Umno sedar dan akan mengambil kira ketika merancang tawaran dan manifesto pilihan raya,” katanya.

Bose, bekas konsultan komunikasi kepada Najib Razak, memberitahu FMT, semalam bahawa Umno dan sekutunya dalam BN seolah-olah mengulangi kesilapan sama yang mengakibatkan kejatuhan gabungan itu, pada pilihan raya umum 2018.

Paradoks penyandang

Shahril menambah, walaupun media sosial berguna kepada parti politik dalam usaha menjadi kerajaan, platform itu juga berkemampuan memberi ancaman.

“Perlu juga mengambil kira asimetri dalam peluang tarikan di media sosial antara kerajaan dan pembangkang, terutama di peringkat pusat di mana isunya bersifat nasional,” kata Shahril yang juga penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Shahril berkata, kerajaan yang berkuasa sentiasa lemah di media sosial kerana pembangkang akan menggunakannya untuk menunjukkan “jurang dan kelemahan”, tanpa menawarkan sebarang penyelesaian.

“BN juga mendapat manfaat daripada fenomena sama ketika kami menjadi pembangkang selama 22 bulan. Oleh sebab itulah paradoks,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Agyl berkata, walaupun Umno dan BN dilihat menggunakan Facebook dengan baik, namun kehadiran mereka kurang di Twitter, yang dianggap “bahaya” sekiranya dibiarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.