Ismail lawan kehendak rakyat, kata pemimpin DAP

Ismail lawan kehendak rakyat, kata pemimpin DAP

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata 'kluster mahkamah' berjaya mengatasi kepentingan rakyat.

Charles Santiago dan Young Syefura Othman berkata perdana menteri tidak mengendahkan nasib rakyat dengan mengadakan PRU15 lebih awal, manakala Rafizi Ramli berikrar ‘membawa Malaysia kembali ke landasan betul’.
PETALING JAYA:
Pembangkang menyelar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, tindakan itu yang didalangi “kluster mahkamah” Umno bertentangan kehendak rakyat.

“Apa yang menyedihkan ialah perdana menteri tunduk kepadanya (gesaan membubarkan Parlimen) dan tidak membela kepentingan semua rakyat Malaysia,” kata pemimpin DAP itu kepada FMT.

“Kluster mahkamah” merujuk pemimpin Umno yang sama ada sedang dibicarakan atau sudah disabitkan atas tuduhan seperti pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang.

Santiago berkata, pemimpin Umno ini mahu pilihan raya diawalkan supaya mereka “tidak dipenjarakan”.

Dengan sambutan Deepavali akhir bulan ini, katanya, tidak sensitif dan tidak adil kepada masyarakat Hindu untuk mengadakan PRU15 di seluruh negara serentak dengan perayaan itu.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Young Syefura Othman, mendakwa Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mengendahkan nasib rakyat, dengan PRU mungkin diadakan pada musim tengkujuh.

Katanya, rakyat perlu mengajar BN yang hanya mementingkan hawa nafsu mereka berbanding kepentingan rakyat.

“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk menghukum keangkuhan Umno/BN ini. Mari keluar beramai-ramai untuk tewaskan semula BN dan juga Perikatan Nasional yang menjadi sebab demokrasi negara ini tercalar akibat Langkah Sheraton (pada Februari 2020),” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata jentera pilihan raya parti itu akan diaktifkan serta-merta untuk menghadapi kempen PRU15.

“CEC DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam esok (Selasa) untuk membincangkan persiapan parti menghadapi PRU15,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua pemimpin dan ahli DAP akan dikerahkan untuk berkempen bagi Pakatan Harapan demi memenangi mandat rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan seterusnya.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, partinya akan melakukan yang terbaik dalam PRU15.

“Yang penting ialah kami cuba yang terbaik untuk membawa Malaysia kembali ke landasan betul,” katanya di Twitter.

Terdahulu, Ismail mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini dan PRU15 akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Katanya, keputusan membubarkan Parlimen bertujuan mengembalikan mandat kepada rakyat memandangkan ketidakstabilan politik selepas tiga pentadbiran berbeza dalam tempoh dua tahun setengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.