Urus pelarian peranan kerajaan, kata UNHCR

Urus pelarian peranan kerajaan, kata UNHCR

Jurucakap UNHCR berkata, ia terpaksa mengambil alih peranan menguruskan pelarian kerana Malaysia tidak mempunyai rangka kerja suaka nasional.

Bulan lepas, MKN mencadangkan agar pejabat UNHCR di Malaysia ditutup bagi membolehkan Putrajaya menguruskan pelarian di negara ini tanpa campur tangan asing.
PETALING JAYA:
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengalu-alukan minat Malaysia dalam menguruskan pelarian, dengan berkata, di negara-negara lain, peranan seperti itu lazimnya disandang oleh kerajaan.

UNHCR menjawab komen baru-baru ini daripada Putrajaya bahawa ia mahu menguruskan sendiri hal ehwal pelarian kerana kehadiran UNHCR mengundang lebih ramai pencari suaka ke negara ini.

Sementara itu, penghantaran pulang pencari suaka ini ke negara asal atau penempatan semula di negara ketiga berada pada tahap “sangat rendah”, tambahnya

Jurucakap UNHCR berkata, ia terpaksa mengambil alih peranan menguruskan pelarian kerana Malaysia tidak mempunyai rangka kerja suaka nasional.

“Seperti yang dibincangkan dengan kerajaan Malaysia, UNHCR kekal komited dalam menyokong peralihan tanggungjawab ini yang bermakna dan secara beransur-ansur kepada pihak berkuasa tempatan, berdasarkan kapasiti dan kepakaran negara tersebut untuk mengendalikan pelarian selaras dengan prinsip perlindungan antarabangsa.

“Kami mengalu-alukan minat berterusan Malaysia dalam mewujudkan rangka kerja nasional untuk menguruskan situasi ini di dalam negara yang akhirnya mungkin membawa kepada kerajaan memikul tanggungjawab lebih besar,” kata jurucakap itu kepada FMT.

UNHCR berkata, sesebuah kerajaan mengambil masa bertahun-tahun untuk membina sistem nasional pemprosesan pelarian yang komprehensif.

“Berita positifnya adalah kerajaan Malaysia sudah mula mengambil beberapa langkah awal berhubung perkara ini,” kata jurucakap itu.

“Kami mengalu-alukan kemajuan bagus yang dibuat dalam penglibatan positif membabitkan pelbagai kementerian dan agensi dalam isu-isu praktikal berhubung perlindungan pelarian.”

UNHCR berkata, selama beberapa tahun, ia menyambut kementerian dan agensi kerajaan, termasuk pegawai atasan, untuk memerhati bagaimana kerjanya dijalankan.

Katanya, ia juga terlibat urus dengan kerajaan melalui pasukan petugas bersama dengan Kementerian Luar selama beberapa tahun dalam membincangkan kerjasama menguruskan pelarian.

Bulan lepas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mencadangkan agar pejabat UNHCR di Malaysia ditutup bagi membolehkan Putrajaya menguruskan pelarian di negara ini tanpa campur tangan asing.

Pada sidang Parlimen baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abd Latiff Ahmad mengesahkan bahawa peralihan sedemikian sedang diusahakan.

Terdapat kira-kira 183,430 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR Malaysia setakat bulan lepas, termasuk 48,010 kanak-kanak.

Laman web UNHCR Malaysia menyatakan bahawa kira-kira 157,910 orang berasal dari Myanmar, terdiri daripada 105,870 Rohingya, 23,190 Chin dan 28,840 daripada kumpulan etnik lain dari kawasan yang dilanda konflik atau yang melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar.

Baki 25,510 lagi terdiri daripada pelarian dan pencari suaka dari 50 negara yang melarikan diri daripada peperangan dan penganiayaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.