
Yusof mengesahkan penggantungan keahliannya, yang diumumkan pada 30 Sept, ditangguhkan sehingga mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan datang.
“Keputusan menggantung dan memecat (keahlian) ini kuasa MKT. Kita buat rayuan dan Umno Bahagian juga buat rayuan kepada Umno Malaysia.
“Selepas dibincangkan oleh lembaga displin, keputusan menangguhkan penggantungan itu dibuat untuk saya kembali aktif sebagai ketua bahagian. Keputusan penuh akan dibuat pada mesyuarat MKT akan datang,” katanya, lapor Sinar Harian.
Yusof berkata, beliau sendiri masih kurang pasti tarikh keputusan penuh berhubung penggantungan keahliannya akan dibuat semula.
“Saya tidak pastilah, mungkin (dalam tempoh) sebulan lagilah. Kebiasaannya, (mesyuarat) sebulan sekali. Jadi, saya boleh merasmikan (mesyuarat perwakilan) Wanita dan Pemuda,” katanya.
Menurut Yusof, beliau tidak mengetahui sebab sebenar penggantungan keahliannya memandangkan tidak pernah dipanggil lembaga disiplin dan dinyatakan kesalahannya.
“Namun, saya beranggapanlah (ia) mungkin (sebab) tulisan-tulisan dalam kumpulan WhatsApp ketua bahagian yang menjadi kesalahan tanpa disedari dan maka (kena) ambil tindakanlah.
“Jikalau kata buat sidang media di luar, saya pun tak pernah buat dan saya tak pernah pun menentang Umno daripada luar,” katanya sambil menambah, beliau menjadikan perkara ini sebagai pengajaran dan iktibar.
Dalam perkembangan sama, beliau menyuarakan kebimbangan bahawa gerak kerja Umno Bahagian Alor Setar akan terganggu jika keahliannya digantung terus.
“Kalau saya digantung terus, saya bimbanglah, sebab kita sudah empat tahun bersama rakyat dan pengundi. Macam-macam program kita sudah buat,” katanya.
Katanya, program dilaksanakan Umno Bahagian Alor Setar dibantu sayap-sayap sentiasa hebat sepanjang empat tahun beliau memegang jawatan tersebut.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Umno menggantung keahlian Yusof dan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun.
Keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat MKT Umno yang diadakan di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur pada 30 Sept.