Umno panggil mesyuarat khas MKT malam esok

Umno panggil mesyuarat khas MKT malam esok

Sebelum ini terdapat desas desus Parlimen akan dibubarkan seminggu lagi bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi Umno esok mungkin membincangkan tarikh PRU15 dan hubungan dengan PAS. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Satu mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi Umno akan diadakan pada malam esok, kata sumber kanan parti.

“Agenda mesyuarat masih belum diketahui. Kemungkinan perbincangan mengenai tarikh pilihan raya umum ke-15,” kata sumber itu kepada FMT.

Sebelum ini terdapat desas desus Parlimen akan dibubarkan seminggu lagi bagi membolehkan PRU15 diadakan. Pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno menerima tekanan daripada partinya sendiri untuk segera membubarkan Parlimen, namun pembangkan membantah PRU15 diadakan tahun ini atas alasan musim banjir, masalah ekonomi serta pandemik Covid-19.

Satu lagi topik yang mungkin dibincangkan esok dipercayai pendirian Umno terhadap kerjasama dengan PAS untuk PRU15.

Pada Selasa lalu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, PAS perlu memilih Umno atau Perikatan Nasional (PN) dan perlu memutuskan hubungan dengan PN sekiranya mahu bekerjasama dengan Umno.

PAS mengadakan mesyuarat penting semalam bagi membincangkan sama ada mahu kekal bersama PN atau bekerjasama dengan Umno.

Bagaimanapun, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan ringkas selepas perjumpaan selama dua jam itu berkata, parti itu akan meneruskan agenda penyatuan ummah dengan harapan ada tolak ansur antara Umno dan Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.