Siap sedia berdepan perubahan cuaca, risiko banjir skala besar, titah Agong

Siap sedia berdepan perubahan cuaca, risiko banjir skala besar, titah Agong

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah agensi berkaitan perlu merangkap kaedah bantuan kepada mangsa banjir dilaksanakan terancang, segera dan efektif.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara berhadapan hujan lebat berterusan dan risiko banjir berskala besar mulai pertengahan November. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah supaya seluruh rakyat melakukan persediaan menghadapi fenomena perubahan cuaca yang membawa hujan lebat berterusan termasuk risiko banjir berskala besar, mulai pertengahan November.

Titahnya, baginda juga meminta semua agensi berkaitan membuat persediaan rapi secara menyeluruh bukan sahaja dalam aspek mengurangkan kesan banjir, malah merangka kaedah bantuan kepada mangsa dapat diberikan secara terancang, segera dan efektif.

“Dalam apa jua keadaan, Allah S.W.T mengingatkan kita untuk membuat persediaan sebelum berlaku sebarang kejadian dan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan.

“Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia telah meramalkan negara akan berhadapan dengan hujan lebat berterusan dan risiko banjir berskala besar mulai pertengahan November.

“Pada kesempatan ini, beta ingin mengingatkan seluruh rakyat beta untuk memperkemaskan diri dan melakukan persediaan bagi menghadapi fenomena perubahan cuaca yang bakal berlaku kelak,” katanya ketika bertitah sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Khamis lalu, baginda diberikan taklimat persiapan menghadapi bencana dan banjir bagi mengetahui kesiapsiagaan agensi terlibat untuk menghadapi monsun timur laut yang dijangka bermula pertengahan November depan dan berakhir pada Mac 2023.

Dalam pada itu, mengambil tema sambutan Maulidur Rasul, ‘Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran’, baginda bertitah supaya kita janganlah terlalu jauh menyimpang dari landasan ditinggalkan Rasulullah S.A.W.

“Semoga Allah S.W.T melindungi negara yang kita cintai ini dan rakyatnya dari sebarang musibah dan bahaya yang melanda,” titahnya.

Dalam majlis itu turut menyaksikan Ahli Perniagaan Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Abidin diangkat sebagai Tokoh Perdana Maulidur Rasul 2022.

Selain itu, Chee Hoi Lan, 84 yang sebelum ini tular menjaga anak angkat beragama Islam, Rohana Abdullah menerima anugerah perdana bagi kategori Ikon Ibu Sejati.

Hoi Lan yang merupakan bekas seorang guru membesarkan Rohana dengan mengekalkan penerapan budaya Melayu dan agama Islam.

Turut menerima anugerah adalah penyanyi dan aktivis masyarakat, Syazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina dinobat sebagai ikon aktivis kemanusiaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.