
Syarikat itu mengisytiharkan penutupan keselamatan pada penghantaran gas ke satu fasiliti eksport gas asli cecair (LNG).
Petronas berkata, kebocoran berpunca daripada pergerakan tanah di kawasan KP201 pada 21 Sept lalu.
“Kejadian ini memberi kesan kepada bekalan gas ke kemudahan pengeluaran MLNG di Dua di komplek LNG Petronas di Bintulu, Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Petronas mengisytiharkan `force majeure’ atau perkara berkaitan bencana di luar kawalan manusia yang menghalang syarikat itu daripada memenuhi kontrak bekalan.
Syarikat itu menjelaskan `force majeure’ hanya memberi kesan pada pembekalan gas ke fasiliti pengeluaran MLNG Dua. Fasiliti pengeluaran LNG yang lain di komplek itu akan terus beroperasi seperti biasa.
Difahamkan kejadian itu memberi kesan kepada perjanjian penghantaran beberapa pembeli LNG dan Petronas sedang berbincang untuk mengenalpasti usaha untuk mengatasinya.
“Petronas kini menjalankan penilaian komprehensif pada saluran paip gas untuk memastikan integriti dan keselamatannya,” kata kenyataan itu.
FMT cuba menghubungi Petronas untuk perkembangan lanjut.
Pada Khamis lalu, ADUN Ba’ Kelalan, Baru Bian mengeluarkan satu kenyataan di Facebook mendesak Petronas mengesahkan kebocoran terbaru membabitkan saluran paip gas Sabah-Sarawak yang berlaku berhampiran Pa Berunut, Lawas.
Katanya, empat kebocoran berlaku antara 2014 dan 2020 di sepanjang saluran paip di Long Sukang, berhampiran Sekolah Kebangsaan Long Sukang, Long Segaman dan Long Kawah.
Beliau mencadangkan, saluran paip sepanjang 600km yang menghubungkan Kimanis di Sabah ke Bintulu, Sarawak ditutup untuk selama-lamanya.
Katanya, beliau bimbang kerana banyak kawasan penduduk padat terletak di laluan paip gas berkenaan.