
Dalam kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah membentangkan laporan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan pasukan petugas khas, seperti meneliti dan menyemak dokumentasi serta material berkaitan, mengadakan siri perbincangan dan mesyuarat serta lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juruhidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata, pasukan itu juga telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar, merangkumi aspek undang-undang, ‘tort of misfeasance’ dan hubungan Malaysia-Singapura.
Biarpun tidak memperincikan langkah yang akan dilaksanakan, Wan Junaidi menegaskan bahawa penambahbaikan dicadangkan pasukan petugas khas bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisis, penelitian dan pemerhatian ahli pasukan itu.
“Pelaksanaan pasukan petugas khas ini secara keseluruhannya menjelaskan komitmen kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara ini dan menyokong dasar luar negara iaitu antara lainnya, menjaga dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta keselamatan Malaysia,” katanya.
Laporan tersebut disediakan dalam tempoh sembilan bulan bermula 9 Nov 2021 sehingga 30 Ogos lepas.
Pada 29 Okt tahun lepas, Jemaah Menteri bersetuju membentuk pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan bekas peguam negara Apandi Ali.
Pasukan itu turut dianggotai peguam tempatan yang mengendalikan kes berkenaan pada 2016 hingga 2017, pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim serta wakil kementerian atau jabatan yang berkepentingan.
Pasukan itu ditubuhkan bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan.