Bayi setahun lemas bot dinaiki karam di Kota Belud

Bayi setahun lemas bot dinaiki karam di Kota Belud

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa bersama sembilan lagi individu dalam perjalanan daripada Pulau Mantanani menuju ke Kampung Rampaian Laut.

Jenazah Muhammad Hayrul Sufyan Fian, yang berusia setahun didukung ahli keluarganya selepas dia ditemui mati lemas dalam kejadian bot karam di Kampung Rampaian Laut, di Kota Belud, hari ini. (Gambar Bomba)
KOTA BELUD:
Bayi berusia setahun lemas selepas bot dinaiki bersama ahli keluarganya karam dalam kejadian di Kampung Rampaian Laut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa Muhammad Hayrul Sufyan Fian bersama sembilan individu lain menaiki bot terbabit daripada Pulau Mantanani menuju ke kampung berkenaan.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan bot berkenaan dikatakan karam dan mangsa dilaporkan hilang sebelum ditemui meninggal dunia oleh penduduk kampung.

Jurucakap Bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.22 petang.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bersama kenderaan pacuan empat roda dan bot penyelamat terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Pusat Gerakan Operasi menerima laporan sebuah bot berkenaan membawa 10 orang penumpang membabitkan empat lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak.

“Sembilan mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang bayi ditemui tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung berhampiran lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.